KUALA LUMPUR 28 Mei - Para pelajar dinasihatkan agar menggunakan
komputer dan perkhidmatan jalur lebar sebaik-baiknya kerana ia akan memberi
kesan negatif sekiranya disalah guna.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan
berkata, gajet tersebut boleh menjadi 'racun' kepada pelajar jika mereka
mengakses laman web yang tidak berfaedah.
"Komputer sebenarnya boleh menjadi 'ubat' kalau
pelajar-pelajar memanfaatkannya sebagai gerbang ilmu untuk tujuan pembelajaran,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan
Komputer Riba 1Malaysia bagi Parlimen Cheras di sini semalam.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Cheras yang juga Pengerusi Yayasan
Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Pengarah Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Tengah, Fadilah Mohd. Nor.
Penyerahan komputer riba fasa kedua itu membabitkan 300 pelajar
dari 12 buah sekolah menengah sekitar Cheras.
Seorang penerima, R. Krishnaraja, 16, berkata, komputer
pertama miliknya dan keluarga itu akan dimanfaatkan sebaiknya untuk tujuan
pelajaran kerana ia membantu dalam mencari maklumat.
"Saya akan mengingati kata-kata Datuk Ahmad mengenai komputer
boleh menjadi racun atau ubat dan berharap rakan-rakan turut sama berpegang
kepada peringatan itu," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Miharja.
Pelajar SMK Yaakob Latif, Nurul Sahira Kasmawi, 15,
berkata, penerimaan komputer riba itu memberi semangat kepadanya dalam
persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) nanti.
"Saya memang tiada perancangan untuk membeli komputer ketika
ini kerana keluarga bukanlah orang senang. Jadi saya sangat bersyukur dan
terima kasih kepada kerajaan yang prihatin kerana memberi komputer ini,"
katanya.
Seorang lagi pelajar, Sun Sieh Mae, 16, berkata, komputer
riba sangat praktikal kepada pelajar ketika ini kerana ia mudah dibawa ke mana
sahaja.
"Selepas ini, kalau mahu menyiapkan folio saya sudah tidak
perlu ke kafe siber lagi kerana boleh dilakukan di sekolah bersama rakan-rakan,"'
katanya.
No comments:
Post a Comment