Friday 13 July 2012

ISRAK MIKRAJ

 



Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada satu  malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah  Maha Mendengar dan Maha Melihat. 
(Surah Bani Israil: 1)

Sempena bulan Rejab yang mulai ini saya ingin merakamkan kisah yang sangat bermakna lagi simbolik dalam sejarah kemanusian iaitu Israk dan Mikraj. Kisah ini merupakan rentetan peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Muhammad s.a.w. secara sebenar sebagai satu anugerah dan penghormatan Allah kepada baginda untuk memberikan satu pengikhtirafan yang teragung kepada Penghulu segala Nabi dan Rasul. Ia juga merupakan satu mukjizat yang tidak diberikan kepada mana-mana rasul sebelum ini. Selain itu ia juga merupakan satu perutusan diraja untuk penyampaian anugerah yang paling agung iaitu solat. Kesemua ibadat zakat, puasa atau haji disampaikan melalui malaikat Jibrail tetapi solat oleh sebab ketinggian darjatnya ia disampaikan secara langsung melalui satu peristiwa gemilang lagi kudus di antara Rabbul Jalil dengan Nabi Muhammad s.a.w. Inilah detik teragung dan pengalaman yang apling manis buat Nabi Muhammad setelah mengalami tekanan perasaan apabila dua orang penyokong kuatnya iaitu Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib meninggal dunia.

Perlu dinyatakan di sini bahawa oleh kerana kejadian ini berlaku secara luarbiasa kita jangan sekali-kali mempertikaikan kesahehannya. Ia mesti dipandang sebagai satu kebenaran sebab ia adalah mukjizat Allah dan juga termaktub di dalam Al-Quran sebagaimana yang tercatat di atas. Sebenarnya Israk Mikraj menguji keiman kita. Mereka yang percaya adalah manusia pilihan Alalh manakala yang meragui kebenaran ini termasuklah dalam kumpulan Abu Jahal yang mendustakannya. Manusia pertama yang percaya bulat-bulat 100% adalah Saidina Abu bakar. Lantas dia digelar As-Siddiq. Perjalanan misteri ini adalah melibatkan jasad dan ruh Nabi Muhammad bukannya ruh saja (seperti dalam mimpi) sepertimana yang didakwa oleh orientalis. Dalam kesempatan ini saya perturunkan kisah tersebut secara agak detail supaya dapat dikongsi bersama dan dijadikan bahan renungan untuk dijadikan iktibar. Yang baik kita jadikan teladan manakala yang buruk kita jadikan sempadan.

Kejadian Israk (perjalanan dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Magdis) dan Mikraj (perjalanan dari alam bumi ke alam langit hingga ke Sidratul Muntaha) ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Ketika itu Nabi sedang berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Jaafar di Hijr Ismail (Masjidil Haram) tiba-tiba datang malaikat Jibrail dan Mikail mengangkat Nabi ke telaga Zamzam. Disana Nabi ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Nabi dibedah unutk dikeluarkan hatinya. Hati nabi dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimantri dengan khatimin nubuwwah. (Kejadian ini menjelaskan kepada kita bahawa peringkat pertama untuk berjalan menuju Alllah ialah pembersihan diri dari segi jasmani dan rohani).


Selesai Nabi Muhammad menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, baginda dipersilakan oleh Jibrail untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq (seekor binatang dari alam malakut yang mempunyai pergerakan yang teramat laju). Mengikut satu riwayat Buraq yang dipilih oleh Jibrail ini merupakan satu-satunya haiwan yang mempunyai keistimewaan kerana sejak mendengar nama Nabi Muhammad ia tidak tahan menanggung rindu sehingga tidak lalu makan dan minum bahkan saban masa duduk menangis tersedu-sedu. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita sedangkan seekor haiwan mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap Nabi Muhammad betapa hal denga kita yang mengaku sebagai umat Muhammad.) 

Buraq yang dibawa oleh Jibrail itu agak liar tetapi bila Jibrail menyatakan yang Nabi Muhammad akan naik belakangnya badannya berpeluh dan dengan rasa malu merendahkan badannya untuk ditunggang oleh Nabi. Buraq terus membawa Nabi dengan diiringi oleh Jibrail di sebelah kanan dan Mikail di sebelah kiri. Maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah.


Beberapa minit perjalanan sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Medina). Di sini Jibrail menyuruh Nabi berhenti melakukan soalt 2 rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Nabi melakukan hijrah. Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sinilah Nabi berhenti untuk melakukan solat 2 rakaat. Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham tempat kelahiran Nabi Isa di mana Nabi sekali lagi mengerjakan solat. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita tentang perlunya mengerjakan solat sunat apabila singgah di masjid atau tempat-tempat yang mulia.

Perjalanan diteruskan lagi. Dalam perjalanan ke Baitul Maqdis Nabi diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil. Setiap kali melihatnya Jibrail menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut. Di antaranya adaklah: 


1. Jin Ifrit membawa obor api sambil mengejar Nabi dari belakang - Malaikat Jibrail mengajarkan doa menangkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya jin tersungkur.


2. Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti -  Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan solat


3. Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka - Bagi balasan mereka yang tidak membayar zakat.

4. Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah - Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah


5. Beberapa orang tak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan - Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.




6. Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi . Apabila bersambung semula digunting lagi tanpa henti -  Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka.

7. Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri hingga habis daging namun masih menggari lagi - Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik  tapi dia sendiri tidak melakukannya.


8. Seekor lembu keluar dari satu lubang yang sempit kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh - Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah kemudiannya menyesal tetapi tidak mampu menarik perkataannya.


9. Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu - Seruan orang Yahudi. Jibrail menerangkan jika Nabi melayan nescaya ramai umatnya menjadi yahudi.

10. Seorang lagi datang dari arah kiri merayu supaya Nabi berhenti - Serua orang Nasrani menghalang sebaran Islam


11. Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti - Gambaran tipu daya dunia jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan


12. Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti - Seruan iblis cuba menghalang usaha dakwah


13. Seorang wanita bongkok 3 menahan Nabi untuk bertanya sesuatu - Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat 


14. Nabi tercium bau yang sangat harum - Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.
 
15. Kayu merentangi jalan sehingga menyukakan orang yang lalu lalang - Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak


16. Sekumpulan orang berenang di dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya - Gambaran orang yang makan riba 


17. Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai - Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.


Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis. Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Nabi Muhammad s.a.w solat tahiyatul masjid dan Jibrail menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu. Kemudian Nabi dihidangkan denga 3 gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia. Selesai upacara israk sampai ketika Nabi Muhammad di Mikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan escalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha. Setiap kali melalui lapisan langit Jibrail memberi salam dan sebaik Malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammmad s.a.w diperkenalkan dengan nabi yang sedia ada menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad. 


Langit  Pertama
Nabi berjumpa Nabi Adam bapa segala manusia


Langit Kedua 
Berjumpa dengan  Nabi Isa dan Yahya 


Langit Ketiga
Berjumpa dengan NabiYusof


Langit Keempat
Berjumpa dengan Nabi Idris


Langit Kelima
Berjumpa dengan Nabi Harun


Langit Keenam
Berjumpa dengan Nabi Musa

Langit Ketujuh
Berjumpa dengan Nabi Ibrahim



No comments:

Post a Comment