Wednesday 18 July 2012

Sikap degil suka ambil gula berlebihan bawa mudarat


GULA adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Nama saintifik gula adalah sukrosa yang terdiri daripada fruktosa dan glukosa. Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian.

Gula juga ada dalam buah-buahan, dalam bentuk fruktosa, dan susu, dalam bentuk laktosa. Selain wujud dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam makanan ketika penyediaan atau pemprosesan yang dikenali sebagai ‘bebas gula’. Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat. Pada label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa (sucrose), fruktosa (fructose), sorbitol, manitol (mannitol), sirap jagung (corn syrup), madu (honey), malt, ekstrak malt (malt extract), maltosa (maltose), ekstrak beras (rice extract), molas (molasses) , golden syrup dan inverted sugar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia menyarankan pengambilan gula dalam minuman untuk sehari sepatutnya tidak melebihi 50 gram atau 10 peratus daripada keperluan tenaga harian.

Ini bertentangan dengan amalan dan gaya hidup penduduk di negara ini yang didapati mengambil lebih tujuh sudu teh gula atau 51 gram sehari dalam minuman mereka, melebihi pengambilan disyorkan WHO. Ini belum lagi dengan pengambilan gula yang terkandung di dalam kuih-muih, bubur, kek, ais krim, coklat dan sapuan roti yang dimakan setiap hari.

Pengambilan gula berlebihan tanpa diiringi aktiviti fizikal seimbang dan bersesuaian akan menyebabkan individu mengalami kegemukan atau obesiti dan kencing manis dalam jangka masa panjang.

Ini dijelaskan lagi dengan kajian kementerian yang mendapati orang dewasa yang obesiti akibat mengambil gula berlebihan mengalami peningkatan hampir dua kali ganda iaitu daripada 16 peratus pada 1996 kepada 29.1 peratus pada 2006.
Pesakit diabetes di kalangan penduduk berumur 30 tahun ke atas pula didapati meningkat daripada 8.3 peratus kepada 14.9 peratus dalam tempoh sama.

Data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menunjukkan pengedaran gula di Malaysia semakin meningkat setiap tahun. Pengedaran gula domestik meningkat daripada 651,973.12 metrik tan pada 2004 kepada 806,381.88 metrik tan pada 2009.

Sementara pengedaran gula industri pula meningkat daripada 306,895.34 tan pada 2004 kepada 474,801.16 tan pada 2009. Data ini menunjukkan pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini mungkin disebabkan oleh harga gula yang murah.

Dalam usaha menggalakkan rakyat negara ini mengurangkan pengambilan gula dan mengamalkan cara hidup sihat, Kementerian Kesihatan menganjurkan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula 2010 yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, baru-baru ini.

Kempen enam bulan itu dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk KPDNKK serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Walaupun sering diberi peringatan supaya mengurangkan pengambilan gula dalam diet harian, rakyat kita masih bersikap tidak ambil kisah dengan alasan antaranya tidak ambil gula banyak pun boleh kena kencing manis. Ada yang lebih tegar lagi memberi alasan, selagi belum kena penyakit buat apa hendak fikir pasal kencing manis, baik makan puas-puas.

Berkali-kali rakyat Malaysia diingatkan dengan cogan kata ‘cegah sebelum parah’, namun itu tidak membantu. Oleh itu, peringatan demi peringatan terus diberikan agar membuka mata kita semua mengenai kesan pengambilan gula secara berlebihan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.

Pengambilan gula berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga berlebihan dan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III, 2006 mendapati 29.1 peratus orang dewasa di negara ini berlebihan berat badan, 14 peratus pula obes. Ini menunjukkan peningkatan berbanding NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16 peratus (berlebihan berat badan) dan empat peratus (obes).

Seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes mempunyai risiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari serta beberapa jenis kanser.

Gula juga boleh dikaitkan dengan pembentukan karies gigi. Data Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar karies gigi di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun adalah 76.5 peratus (2005) dan 80.9 peratus di kalangan kanak-kanak berumur enam tahun (1997).

Dalam usaha mendidik rakyat mengurangkan pengambilan gula, Kementerian Kesihatan menjalankan beberapa inisiatif termasuk mengadakan Kempen Cara Hidup Sihat, bermula pada 1991. Kempen ini diteruskan sehingga kini melalui pelaksanaan Promosi Makan Secara Sihat.

Pada 1998, Kempen Kurangkan Gula dijalankan secara intensif dan pelbagai aktiviti dijalankan ketika kempen ini, termasuk menggalakkan gerai makanan menggunakan slogan ‘1 Mencukupi, Kurang Lebih Baik’; rundingan dengan hotel, restoran, kantin, kedai kopi, pemegang francais dan katerer; serta penyebaran mesej kurangkan gula melalui risalah, poster dan iklan televisyen.

Selain itu, rundingan dengan industri makanan turut dijalankan yang bersetuju mengurangkan kandungan gula dalam produk makanan dan minuman yang mereka keluarkan. Hasilnya, hari ini didapati semakin banyak produk yang kurang kandungan gula di pasaran. Usaha ini sedang diteruskan bagi memastikan peningkatan produk sebegini di pasaran.

Seiring dengan usaha ini, pelabelan makanan ‘rendah gula’ dan ‘bebas gula’ dibenarkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985. Mengikut peraturan ini, makanan ‘rendah gula’ adalah makanan yang mengandungi gula tidak melebihi 5 gram per 100 gram atau 2.5 gram per 100 ml.

Makanan ‘bebas gula’ pula adalah makanan yang mengandungi gula tidak melebihi 0.5 gram per 100 gram atau 100 ml. Peraturan-peraturan Makanan 1985 juga mewajibkan pelabelan kandungan gula dalam minuman sedia diminum.

No comments:

Post a Comment